Abdullah bin Mas'ud termasuk golongan awal yang memeluk Islam. Ketika itu usianya belasan tahun. Beliau berasal dari keluarga yang miskin dan pernah menjadi pengembala kambing milik Uqbah bin Muith.
Ketika dia sedang mengembala kambing, datang dua orang lelaki ke arahnya. Mereka adalah Nabi Muhammad s.a.w. dan Sayidina Abu Bakar As-Siddiq. Rasulullah s.a.w. meminta sedikit susu kambing untuk menghilangkan dahaga. Namun jawab Abdullah bahawa kambing -kambing tersebut bukan miliknya.
Oleh itu baginda meminta seekor kambing yang belum pernah mengeluarkan susu kemudian berdoa kepada haiwan itu. Abdullah berasa hairan melihatkan kambing itu mengeluarkan susu. Inilah diantara mukjizat Rasulullah s.a.w. Peristiwa itu telah mendorong Abdullah bin Mas'ud memeluk Islam.
Ketika beliau baru memeluk Islam, agama Islam masih disebarkan secara bersembunyi. Namun Rasulullah s.a.w. berhasrat untuk menyebarkan Islam secara terbuka kepada penduduk Mekah. Maka pada suatu hari, para sahabat telah berbincang bagaimana mahu memperdengarkan ayat-ayat suci Al-Quran kepada orang kafir Quraisy.. Dengan cara ini diharapkan dapat mengubah sikap mereka terhadap Islam.
Abdullah bin Mas'ud lalu menyatakan kesediaannya untuk melakukan tugas itu. Para sahabat mengingatkan bahawa tindakan ini akan membahayakan dirinya sendiri. Namun Abdullah telah pergi ke Masjidil Haram lalu meperdengarkan ayat-ayat suci Al-Quran kepada orang-orang musyrik di sekitarnya.
Ternyatalah apa yang dibimbangkan oleh para sahabat benar-benar terjadi. Pada mulanya orang kafir Quraisy menyangka beliau hanya membaca syair. Namun tiba-tiba mereka menyedari bahawa apa yang dibaca olehnya adalah ayat-ayat suci Al-Quran. Maka beliau telah dipukul oleh orang-orang kafir sehingga mendapat cedera di bahagian muka dan mulutnya.
Meskipun begitu, peristiwa ini tidak mematahkan semangat Abdullah bin Mas'ud malah beliau berasa bangga. Beliau berjaya memperdengarkan ayat-ayat suci Al-Quran kepada orang-orang kafir sehingga mereka sendiri tertarik mendengarnya.
Rasulullah s.a.w. pernah mengatakan Abdullah bin Mas'ud akan menjadi seorang guru pada suatu hari kelak. Ini terbukti apabila beliau telah menjadi seorang guru agama yang luas pengetahuannya serta bijaksana.
Abdullah bin Mas'ud juga merupakan seorang penulis wahyu Rasulullah s.a.w. Beliau pernah mengambil sekurang-kurangnya tujuh puluh buah surah secara langsung daripada baginda. Malah baginda memberikan kepercayaan kepadanya untuk menyebarkan ayat-ayat Al-Quran itu.
Rasulullah s.a.w. amat mencintai Abdullah bin Mas'ud. Beliau dibenarkan keluar masuk ke dalam rumah baginda. Beliau juga menjadi pembantu Rasulullah s.a.w. dan sering mengikuti baginda bagi menguruskan keperluan baginda.
Kecintaan Rasulullah s.a.w. terhadap Abdullah bin Mas'ud dapat dilihat daripada sabda-sabda baginda untuknya:
"Saya rela kepada umatku apa-apa yang disukai oleh Ibnu Mas'ud dan saya marah Kepada umatku apa-apa yang dimarahi olehnya."
"Seandainya aku hendak melantik seseorang bagi memegang sesuatu tugas tanpa berunding dengan kaum Muslimin yang lain, maka pastilah yang aku pilih itu adalah Abdullah bin Mas'ud.
Abdullah bin Mas'ud turut menyertai beberapa peperangan besar seperti Badar, Uhud dan Khandak. Dalam Perang Badar, beliau berjaya membunuh Abu Jahal iaitu musuh Islam yang amat terkenal .
Setelah Rasulullah s.a.w. melihat mayat Abu Jahal, baginda pun bersabda:
"Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah menghina engkau wahai Abu Jahal di dunia ini. Engkau merupakan Firaun dari umat ini."
Pedang Abu Jahal kemudiannya telah diserahkan baginda kepada Abdullah bin Mas'ud. Pada zaman pemerintahanKhalifah Umar Al-Khattab, Abdullah bin Mas'ud telah dipilih sebagai guru agama bagi penduduk Kufah. Di samping menjadi guru, beliau juga merupakan seorang ahli membaca Al-Quran dan ahli meriwayatkan hadis.
Abullah bin Mas'udmeninggal dunia pada tahun 32 Hijrah di zaman pemerintahan Khalifah Usman bin Affan. Ketika itu beliau berumur 60 tahun dan telah dikebumikan di Al-Gharad, Madinah.
Friday, April 11, 2008
Subscribe to:
Comments (Atom)
